Monday, September 8, 2008

KUNCI KHAZANAH

Rencana berikut ini saya petik kerana ia mengandungi maklumat penting mengenai kunci khazanah ilmu yang dimiliki oleh masyarakat kita seluruhnya. Saya baca rencana ini dalam konteks sebuah kertas kerja dibentangkan oleh Dr Julaihi Haji Bujang yang mengatakan sehingga tamat UPSR hampir 40 peratus belum celik huruf dengan sempurna menyebabkan mereka tidak memiliki kunci ke khazanah ilmu asas apa lagi ilmu peringkat tinggi.


Tanpa ilmu dan tanpa kunci khazanah itu bagaimana boleh mereka mencapai kejayaan dalam kehidupan zaman ini?


Rasanya isu ini lebih relevan daripada isu siapa yang membawa gagasan dan pembaharuan dalam sastera Sarawak dan siapa yang dikatakan berjaya dan hebat, dan siapa yang gagal. Apa maknanya kehebatan dan kejayaan seorang penulis di negeri ini apabila masih 40 peratus rakyatnya dalam generasi sekarang masih buta huruf?





CELIK HURUF PENYELESAIAN TERBAIK


Oleh Soraya Jama

lKUALA LUMPUR, 7 September 2008 (Bernama) --


Jauh di pedalaman Sarawak seorang kanak-kanak bangun seawal pukul 5 pagi dan berjalan merentasi kampungnya sebelum menyeberangi jambatan gantung yang sudah goyah dan menaiki sebuah bot ke sekolah.


Sementara itu, di sebuah bandar yang terletak beberapa ratus kilometer dari kampung itu, seorang lagi kanak-kanak menaiki kereta ke sekolah dengan perjalanan mengambil masa 10 minit, bersama beg sekolah yang penuh dengan buku teks, alat-alat tulis dan bekas berisi makanan.


Walaupun cara kedua-dua kanak-kanak ini sampai untuk menimba ilmu jauh berbeza, mereka hidup di negara yang sama dan mempunyai hak yang sama untuk mencapai pendidikan berkualiti tidak kira jantina, latar belakang ekonomi, etnik, kecacatan, lokasi geografi, kewarganegaraan dan status HIV.


Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, sekurang-kurangnya sembilan daripada 10 warga dewasa Malaysia hari ini boleh membaca dan menulis, satu angka yang menunjukkan peningkatan 33 peratus sejak 30 tahun yang lepas, hasil daripada dasar pendidikan yang mewajibkan pendidikan sekolah rendah dan peningkatan kemasukan ke sekolah menengah.


Sementara itu, kadar pendaftaran masuk ke sekolah rendah adalah lebih daripada 90 peratus, kira-kira 140,000 pelajar sekolah rendah di Malaysia tidak dapat membaca atau menulis dan 4 peratus daripada kanak-kanak berumur 6-12 tahun tercicir daripada persekolahan.


Dengan peluang yang terhad untuk keluar daripada belenggu kemiskinan atau menyumbangkan kepada pembangunan atau perlindungan masyarakat mereka, kanak-kanak ini ketinggalan dari awal lagi.


MENGAPA?


Pendidikan dan celik huruf adalah asas penting bagi pertumbuhan tidak kira negara-negara membangun atau maju. Manfaatnya melampaui gred pencapaian di sekolah dan meninggalkan kesan yang dirasai sepanjang hayat.


Keupayaan untuk membaca dan menulis membolehkan kanak-kanak meraih manfaat daripada pendidikan, untuk membangunkan pengetahuan dan tingkah-laku bagi menjamin kesihatan dan memperoleh kemahiran yang akan menyumbang kepada kapasiti negara, memperkukuh masyarakat madani dan pentadbiran baik.


Pendidikan asas yang baik membolehkan murid-murid untuk melanjutkan pelajaran. Ibu bapa yang celik huruf lebih kemungkinan menghantar anak mereka ke sekolah. Mereka yang celik huruf dapat menilai dengan lebih baik peluang-peluang pendidikan berterusan dan masyarakat celik huruf lebih bersiap sedia dalam memenuhi keperluan pembangunan yang mendesak. Celik huruf adalah penting dalam membasmi kemiskinan, mengurangkan kematian kanak-kanak, menghalang pertumbuhan populasi, mencapai kesaksamaan jantina dan memastikan pembangunan lestari, keamanan dan keharmonian.


Hanya apabila setiap orang kanak-kanak dapat membaca dan menulis, baru kita boleh memastikan negara yang sihat dan menjamin kemajuan umat manusia.


HARI CELIK HURUF ANTARABANGSAHari


Celik Huruf Antarabangsa, yang diraikan setiap 8 Sept sejak 1965, mengingatkan masyarakat antarabangsa akan status celik huruf dan pembelajaran di seluruh dunia.


Hari sambutan ini memberi peluang kepada semua kerajaan, NGO dan media untuk menunjukkan komitmen mereka dalam memastikan agenda celik huruf kekal sebagai keutamaan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.


Unicef Malaysia meraikan Hari Celik Huruf Antarabangsa, tahun ini dengan tema Celik Huruf Penyelesaian Terbaik, dengan tumpuan kepada penambahbaikan pendidikan daripada segi capaian, ekuiti dan kualiti, khasnya bagi golongan kanak-kanak yang terpinggir di Malaysia.


"Seorang kanak-kanak yang boleh membaca dan menulis boleh diajar. Kanak-kanak yang boleh diajar boleh diperkasa untuk menuntut hak mereka, ubah kehidupan mereka, memajukan masyarakat mereka dan mempengaruhi takdir mereka," kata Wakil Unicef ke Malaysia, Youssouf Oomar.


Youssouf menekankan bahawa pendidikan bukan sahaja satu keistimewaan tetapi hak bagi semua kanak-kanak di Malaysia, seperti yang diperuntukan bagi mereka melalui ratifikasi Konvensyen bagi Hak Kanak-kanak (CRC) dan komitmen kerajaan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Alaf Baru(MDG).


PENCAPAIAN MALAYSIA


Di Malaysia, usaha untuk membangunkan sumber manusia berlandaskan satu pendekatan menyeluruh, menumpukan pada penguasaan pengetahuan, modal intelektual dan membangunkan kemahiran teknologi dan perusahaan.


Pendidikan merupakan keutamaan jika negara mahu mencapai status negara maju seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.


Kerajaan mengakui terdapat keperluan untuk mengatasi kelemahan dalam capaian, ekuiti dan kualiti pendidikan, khasnya di kalangan kumpulan kanak-kanak terpinggir di luar bandar dan kawasan terpencil, dan kanak-kanak Orang Asli.


Ia membabitkan peningkatan dalam kapasiti institusi serta sumber manusia dalam melatih guru dan kaunselor sekolah, menambah baik penjagaan dan pembangunan awal kanak-kanak dan menggalakkan pendidikan berasaskan kemahiran hidup. Menurut Laporan Pernilaian Pertengahan Dekad Pendidikan Malaysia 2000-2007 yang dijalankan oleh Unicef, lebih 96 peratus kanak-kanak berada dalam alam persekolahan pada 2005.


Kadar pendaftaran masuk pendidikan menengah meningkat dengan baik semasa dekad-dekad sebelum ini tetapi kini angka itu mula mendatar.


Pada 2005, kadar bersih pendaftaran masuk bagi kanak-kanak perempuan ialah 81 peratus sementara kadar kanak-kanak lelaki lebih rendah iaitu 77 peratus.


Menurut banci tahun 2000, lebih 91 peratus daripada populasi yang berusia lebih 10 tahun dalam alam persekolahan adalah celik huruf.


Bagaimanapun, cabaran-cabaran tetap wujud di beberapa bidang khasnya bilangan pendaftaran masuk ke sekolah rendah dan pencapaian pembelajaran yang lebih rendah di kawasan-kawasan luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak.


Bilangan kanak-kanak Orang Asli yang tercicir daripada sekolah rendah masih tinggi berbanding angka peringkat nasional dengan hanya 20 hingga 40 peratus daripada kanak-kanak masyarakat ini mara ke peringkat menengah rendah.


Kadar celik huruf di kalangan masyarakat Orang Asli pada tahun 2001 ialah 51 peratus.


Cabaran-cabaran lain berkaitan dengan menambah baik tahap keupayaan untuk menulis, membaca dan mengira dan menggalakkan pendekatan holistik terhadap pendidikan yang menekankan kemahiran hidup.


PROGRAM-PROGRAM UNICEF


Program-program UNICEF Malaysia adalah sejajar dengan rangkakerja dan strategi Rancangan Malaysia Kesembilan, dan kewajipan Malaysia terhadap masyarakat antarabangsa seperti yang termaktub dalam CRC dan MDG.


"UNICEF Malaysia komited dalam menyokong dan meningkatkan dasar-dasar kebangsaan untuk memastikan negara mencapai tanda aras yang telah ditetapkan dalam rancangan-rancangan pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan 2020," kata Youssouf.


Pertubuhan turut merintis satu program penyelesaian pendidikan yang baik bersama Kementerian Pendidikan dengan menyertakan cerita dongeng dan legenda Orang Asli dalam membantu kaedah pengajaran dan meningkatkan kadar celik huruf di kalangan kanak-kanak Orang Asli.


Selain itu, UNICEF menyediakan dana dan sokongan teknikal kepada Kementerian Pendidikan untuk menilai impak dan keberkesanan Program Pembacaan Tambahan, satu program akar umbi yang dimulakan pada 2006 untuk menyediakan bahan-bahan bacaan tambahan bagi murid sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak.


UNICEF Malaysia juga berusaha meningkatkan lagi program Pendidikan Berasaskan Kepada Kemahiran Hidup (LSBE), yang memberi kapasiti kepada guru-guru untuk mengajar kanak-kanak dan warga dewasa mengenai pencegahan HIV, dengan sasaran 100 buah sekolah di Malaysia.


Akhir sekali, UNICEF membantu Kementerian Pendidikan dan Mercy Malaysia untuk meningkatkan pelaksanaan program-program kesiapsagaan kecemasan yang disasarkan kepada kanak-kanak luar bandar yang terdedah kepada bencana alam. Youssouf berkata, bagi UNICEF, pendidikan untuk semua bukan sekadar membina sekolah dan menghantar anak-anak ke sekolah.


Malahan ia bermakna setiap orang kanak-kanak dapat menghadiri sekolah mesra kanak-kanak di mana mereka boleh membaca dan menulis dengan betul, menerima inspirasi untuk belajar, serta pendapat dan pandangan mereka dihargai untuk menjana asas rohani, emosi dan fizikal yang utuh di sepanjang hayat mereka.-- BERNAMA

Saturday, September 6, 2008

PASCAMODERNISME, RAMADAN DAN KETAKWAAN SOSIAL

SALAH satu fenomena menarik pada setiap Ramadan ialah meningkatnya kehendak (hasrat) khususnya perbelanjaan. Ia merupakan sebuah naluri di tengah-tengah kehidupan hari ini yang penuh dengan patologi kejiwaan.

Media merupakan medium terpenting yang menawarkan informasi material bagi memenuhi kehendak-kehendak tersebut. Antara lain melalui pengiklanan yang menawarkan pelbagai produk dan komoditi terbaru dengan harga tertentu.

Keberadaannya hasrat tersebut sesungguhnya sesuatu yang mengkhuatirkan bila dihubungkan masyarakat yang kian dipengaruhi kuat oleh budaya pascamoden (postmodern culture).

Kekhuatiran tersebut muncul, disebabkan budaya pascamodenisme sering dituduh sebagai budaya yang penuh paradoks dan kontradiksi diri (self contradiction) yang dapat memberi impak kepada pemikiran dan tentunya persoalan agama.

Membicarakan hasrat dalam masyarakat pascamoden adalah umpama memperkatakan sejalur cahaya di tengah-tengah lorong gelap kehidupan hasrat manusia yang begitu rencam yang ditandai dengan isu-isu moral, hiruk-pikuk individualisme, konsumerisme dan hedonisme.

Pascamoden itu sendiri merupakan sebuah wacana yang digerakkan berbagai bentuk hasrat. Jacques Lacan dalam Discourse and Social Change berkata, hasrat merupakan mekanisme utama perubahan sosial dan kebudayaan. Kesemuanya digerakkan oleh libido (jika meminjam pandangan Sigmund Freud).

Hasratlah yang membuat sebuah kebudayaan tidak bersifat statik. Ia juga membuat setiap orang tidak pernah merasa puas dan sentiasa menciptakan kebudayaan-kebudayaan baru dalam kehidupan mereka.

Meskipun bentuk-bentuk hasrat sangat kompleks, berdasarkan pandangan Lacan, ada dua bentuk utama yang muncul dalam masyarakat pascamoden iaitu hasrat untuk menjadi (to be) dan kedua adalah hasrat memiliki (to have) - menjadi manusia yang hebat dan memiliki apa sahaja khususnya kekayaan.

Dalam masyarakat pascamoden, hidup dan hasrat dibiarkan bergerak secara bebas tanpa terikat pada landasan-landasan sosial dan ketuhanan supaya dapat memenuhi kehendak-kehendak tersebut.

“Gejala yang dihadapi oleh masyarakat pascamoden hari ini ialah persoalan hipermoraliti (hypermorality), suatu keadaan di mana nilai-nilai moral mulai terhakis dan tidak dapat dipegang lagi kerana ia berkembang melampaui had benar dan salah, baik dan buruk serta berguna dan tidak berguna.

“Nilai-nilai moral telah dipinggirkan kerana masyarakat telah meletakkan hasrat pada peringkat tertinggi kehidupan masing-masing tanpa memikirkan nilai sosial mereka,” tulis George Bataille dalam Literature and Evil.

Secara umumnya, masyarakat pascamoden meletakkan hasrat sebagai penanda tentang gaya, imej, gaya hidup dan status sosial. Kesemuanya mengarah kepada penciptaan-penciptaan hasrat yang akhirnya melenyapkan batas-batas moral dan etika.

Ramadan misalnya di satu sisi merupakan bulan untuk menjalankan ibadat dan menuju keesaanNya tetapi pada masa yang sama menjadi ruang jagat komoditi kapitalisme, konsumerisme dan hedonisme.

Pengertian komoditi kapitalisme tidak lagi terhad mengenai apa yang boleh atau tidak tetapi sentiasa mencipta dunia konsumerisme yang dibentuk oleh nilai-nilai keterpesonaan dan hasrat. Nilai inilah yang dikatakan Bataille sebagai fenomena hipermoraliti yang sedang dihidapi oleh masyarakat pascamoden.

Dalam dunia konsumerisme, hidup dihabiskan untuk durasi-durasi imej dan gaya yang sentiasa berganti dalam tempoh yang terlalu cepat yang memerangkap manusia dalam irama hedonisme.

Kecepatan inilah yang menurut Arthur Kroker & David Cook dalam The Postmodern Scene: Excremental Culture and Hyper-Aesthetics sebagai fenomena kepanikan kapital, kekacauan komoditi, media, seks dan krisis moral.

Keadaan ini merupakan cabaran terbesar untuk ditangani sempena bulan Ramadan untuk membawa keluar masyarakat dari ruang material, krisis moral, hipermoraliti dan kepanikan kapital serta etika.

Ini kerana masyarakat pascamoden penuh paradoks. Di satu sisi ia telah membuka sebuah cakrawala dunia yang pluralistik - kaya warna, nuansa dan citra manakala di sisi lain ia menjelma menjadi sebuah dunia yang tidak terkawal dan bergerak menurut logik dan rasional semata-mata.

Ramadan sesungguhnya tidak hanya menuntut kealiman individu tetapi juga ketakwaan sosial. Dalam erti kata lain, kemestian pembersihan sistem sosial, sistem politik dan sistem ekonomi daripada ketamakan dan kerakusan yang mengambil titik tolak dominasi dan hegemoni yang perlu dipikul oleh semua individu.

Jika Ramadan dilihat hanya sebagai medium pengawalan diri daripada hasrat dan unsur-unsur hipermoraliti dengan membiarkan sistem sosial masih terbelenggu dengan persoalan sama, ia tetap merupakan sebuah kekacauan konseptual.

Amalan agama itu sendiri bukanlah kepasrahan agung dengan disertai oleh pengorbanan diri terhadapNya semata-mata tetapi juga dengan ibadat dalam ukuran pragmatisme untuk memurnikan masyarakat daripada hedonisme, hiperrealiti, individualisme dan krisis moral.

ARKIB : Utusan Malaysia 04/09/2008
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_02.htm