Monday, June 2, 2008

PEJUANG KEMAJUAN BAHASA MELAYU DIUSIR KE ENGLAND

Oleh Mohd Azis Ngah azis@bharian.com.my

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Jejak/20080224113553/Article/

Inggeris singkirkan Abdul Rahman Andak yang berjaya lahirkan ramai bijak pandai Melayu kerana bimbang pengaruhnya berkembang


JOHOR memang terkenal sebagai negeri yang melahirkan ramai golongan bijak pandai dan pejuang bangsa. Bahkan hasil titik peluh mereka diguna pakai masyarakat seluruh negara hingga ke hari ini.

Seorang daripada tokoh besar kelahiran Johor ialah Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak, seorang berpendidikan Inggeris dan dianggap sebagai antara pembesar negeri yang sangat pintar hinggakan wujud usaha menyingkirkannya dari bumi sendiri.

Abdul Rahman Andak adalah anak kepada Haji Andak Jamak manakala adiknya pula Tan Sri Taib Andak.

Beliau adalah anak Johor yang pertama melanjutkan pelajaran di England pada 1870 sebelum memulakan kerjayanya dalam Jabatan Perkhidmatan Awam Johor (JCS) dan berakhir dengan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Disebabkan mempunyai pendidikan Inggeris, beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan pegawai Inggeris dan pedagang asing di Johor.

Tugas utama yang dilakukan oleh Abdul Rahman ialah mengawal hubungan yang dijalankan di antara kerajaan Johor dengan pihak Inggeris.

Tugas yang dilakukan sememangnya berat dan beliau harus menentukan agar hubungan berjalan dengan seimbang.

Disebabkan keadaan itu, Inggeris tidak dapat mengambil kesempatan untuk menguasai dan menjajah negeri Johor.

Beliau menjalankan tugasnya dengan baik sehingga ada di kalangan pegawai Inggeris yang tidak menyukainya kerana sikapnya yang tegas terhadap mereka.

Dalam menyelamatkan Johor dari terperangkap dengan muslihat penjajah, Abdul Rahman selaku Penasihat Sultan bertanggungjawab menasihat Sultan Abu Bakar menandatangani teriti persahabatan dengan Inggeris pada 1885, Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan menyekat percubaan Inggeris melantik Penasihat Am Inggeris.

Pada 1888, Abdul Rahman Andak bersama putera Abdullah Munsyi, Datuk Muhammad Ibrahim Munsyi membuka lembaran baru memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu dengan mengasaskan Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB) di Johor Bahru.

Walaupun berpendidikan Inggeris, beliau mewujudkan kesedaran untuk memperjuangkan kemajuan bahasa Melayu secara berkumpulan melalui PBMPB.

Tujuannya untuk mengkaji dan mempelajari bahasa Melayu agar pengetahuan bahasa Melayu itu lebih mudah disebarkan kepada orang Melayu. Usaha yang utama organisasi ini (PBMPB) ialah menterjemahkan istilah atau perkataan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu.

Beberapa perkataan yang dicipta ketika itu dan kekal hingga sekarang adalah seperti setiausaha, pejabat dan kerja raya.

Pendekatan yang diamalkan Abdul Rahman termasuk usaha melahirkan ramai bijak pandai Melayu melalui pendidikan menyebabkan wujud 'taktik kotor' untuk menyingkirkannya bagi mengelakkan pengaruhnya berkembang. Inggeris mendapati selagi ada Abdul Rahman Andak mereka sukar menguasai Johor.

Oleh itu, Sultan Ibrahim dipengaruhi untuk menamatkan perkhidmatan beliau dan 'disemadikan' di England pada 1909. Gabenor Anderson bertindak menyingkir Abdul Rahman dengan persetujuan Sultan Ibrahim dan mencadangkan Abdul Rahman dibayar pencen 1000 pounds sterling setahun.

Keadaan ini membolehkan Inggeris bertapak di Johor pada 1909 dan menguasai Johor mulai 1914. Situasi itu menyebabkan Abdul Rahman membawa diri ke London dan meninggal dunia di sana, namun jasanya tetap dikenang sebagai seorang daripada tokoh yang membawa pembaharuan dalam pendidikan khususnya perjuangan bahasa Melayu.

Walaupun tidak membabitkan sebarang penentangan atau tumpah darah dalam memperjuangkan bangsa, Abdul Rahman tetap dikenang dalam usahanya mengasaskan PBMPB.

Antara 1935 hingga 1947, PBMPB menghasilkan 34 buku, 16 daripadanya mengenai bahasa yang meliputi perkamusan, tatabahasa, ejaan dan daftar kata, manakala 18 lagi mengenai sejarah, kebudayaan dan laporan.

Dalam bidang peristilahan pula, PBMPB memainkan fungsi besar mencipta beberapa istilah baru seperti pesuruhjaya, warta, jurucakap, jadual waktu dan timbalan. Abdul Rahman dianggap sebagai pemimpin pertubuhan terkenal dalam memberi nafas kepada organisasi itu.

Namun begitu pertubuhan itu tidak kekal dan pada 1904 usaha dibuat untuk menghidupkannya kembali. Organisasi itu semakin tidak bermaya sehinggalah pada 1934, baginda Sultan Johor bersetuju memberi bantuan RM2,000.

Nama Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa ditukar kepada Pakatan Bahasa Melayu dan Persuratan Buku-buku Diraja (PBMPB).

Gelaran 'Diraja' dianugerah oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar pada 14 April 1935.

Sumbangan awal Abdul Rahman itu diakui banyak memberi kesan dalam perkembangan bahasa Melayu sehingga membawa kepada penubuhan Balai Pustaka pada Jun 1956 sebelum ditukar nama kepada Dewan Bahawa Pustaka (DBP) pada September 1956. BIODATA: Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak

· Lahir 1850

· Menetap di London dan berkahwin dengan Gustel Reis.

· Mendapat tiga anak lelaki iaitu Henry, Mansour dan Walter.

· Meninggal dunia pada 10 September 1930 di London dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Woking, London. FAKTA: Matlamat PBMPB

· Memelihara, melengkap dan memodenkan Bahasa Melayu.

· Memelihara tulisan Jawi.

· Membaku ejaan dan perkataan.

· Ceramah dan penyelidikan.

· Menerbitkan Jurnal Peredar.

· Mengadakan perpustakaan.

· Mencipta perkataan baru.

SASTERA.COM: PENYENARAIAN KARYA TERBITAN SENDIRI DIPERTIKAI

Oleh Nazmi Yaakub

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Sastera/20080527082022/Article/index_html

BLOG The Short Review di alamat http://theshortreview.blogspot.com menimbulkan persoalan mutu karya yang diterbitkan sendiri oleh penulis baru sehingga wajar mendapat tempat di kalangan pengulas setaraf dengan buku pengarang tersohor yang diterbitkan syarikat penerbitan mapan.

Isu itu timbul ekoran buku kumpulan cerpen yang diterbitkan sendiri oleh pengarang tidak dikenali, menguasai senarai panjang calon pemenang Hadiah Cerpen Antarabangsa Frank O’Connor yang menawarkan hadiah wang bernilai RM176,000 (EUR35,000).

Meskipun ada pengarang tersohor disenaraipanjangkan seperti Jhumpa Lahiri, Anne Enright dan Roddy Doyle, kebanyakan penulis di antara 39 calon itu ialah penulis baru yang menerbitkan kumpulan cerpen mereka sendiri.

Separuh daripada 14 calon pengarang dari Britain ialah mereka yang bukunya diterbitkan syarikat indie, SALT, manakala pencalonan individu pula datang dari Kanada, Singapura, Taiwan dan Nigeria, selain Amerika Syarikat (8); Ireland (5), Australia (2) serta New Zealand (2).

Editor The Short Review, Tania Hershman, menganggap perkembangan baru dalam dunia penganugerahan sastera itu menarik untuk diulas kerana isu ulasan karya kelompok terbabit menjadi persoalan rumit untuk dijelaskan terutama di kalangan pengulas.

“The Short Review sendiri mengambil keputusan tidak menerima kumpulan cerpen terbitan sendiri atau buku yang pengarangnya terbabit dalam proses penerbitan untuk pihak kami melakukan ulasan dan kritikan.

“Sekiranya anda bertanya alasan tindakan itu, saya mungkin boleh menggunakan ‘kawalan mutu’ walaupun secara jujur saya pernah membaca ulasan terhadap kumpulan cerpen yang teruk,” katanya yang juga menghasilkan kumpulan cerpen The White Road & Other Stories.

Hershman mengakui kebimbangannya untuk menerima kumpulan cerpen terbitan sendiri ialah tindakan itu bakal membuka pintu kepada kemasukan buku sedemikian sehingga menyebabkan kebanjiran buku terbabit dalam dunia ulasan.

“Novelis, Anne Brooks, menulis catatan menarik dalam blog Vulpes Libris mengenai keterbukaan laman web ulasan buku yang menerima buku terbitan sendiri untuk ulasan kerana dunia maya bersikap terbuka berbanding kelompok pengulas tradisi buku berkulit keras.

“Perkembangan dan pandangan baru itu memberi idea kepada saya sebagai Editor The Short Review untuk membuat pertimbangan sama ada mengulas buku terbitan sendiri atau mengambil tindakan menentangnya,” katanya.

Hadiah Cerpen Antarabangsa Frank O’Connor dianjurkan Pusat Kesusasteraan Munster dan mendapat dana Majlis Perbandaran Cork untuk mengenang sumbangan cerpenis berbangsa Irish, Frank O’Connor itu, pernah dimenangi pengarang antarabangsa seperti Miranda July, Haruki Murakami, Jay Rubin, Philip Gabriel dan Yiyun Li.

SOROTAN KARYA PENGARANG SABAH

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Sastera/20080527082126/Article

Berita Harian, 27 Mei 2008

Karya Jasni Matlani, Hasyuda Abadi dan Noraini Osman dilapah daripada pelbagai sudut oleh tiga panel yang dijemput khas BICARA Karya Sastera Penulis Sabah 2008 melapah tiga karya pengarang tersohor dan pelbagai peringkat usia Negeri Di Bawah Bayu itu dalam usaha mengetengahkan ketrampilan mereka pada persada sastera tanah air.

Tiga buku yang dibicarakan adalah kelompok karya terkini pengarang yang sudah membuktikan kepengarangan mereka dengan memenangi pelbagai anugerah peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Program sehari itu anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), DBP Cawangan Sabah (DBPCS) dan Bahasa mengetengahkan pelbagai tema termasuk keagamaan, politik, pembangunan, suara rakyat, patriotisme dan nasionalisme.

Tiga karya dipilih adalah kumpulan puisi Sinar Sirna karya Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Hasyuda abadi; antologi cerpen Hujan Putih (Yang Dipertua Badan Bahasa Sabah (Bahasa), Jasni Matlani); dan novel Kembali Sebutir Mutiara (Noraini Osman).

Jasni dan Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Usin, masing-masing memperlihatkan jati diri sebagai pengarang hebat mutakhir ini, manakala novel Noraini pula memenangi Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP.

Penolong Pegawai Perancang Bahasa DBP, Mohd Amran Daud, meletakkan kumpulan puisi Sinar Sirna terbitan DBP pada 2007 sebagai menepati karya bermutu tinggi yang sama hebat dengan teks Kesusasteraan Melayu Moden dan Komponan Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas).

Sebanyak 80 peratus daripada 160 karya yang dihasilkan bekas penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia itu bertema keagamaan manakala bakinya kemasyarakatan, politik dan suara rakyat peringkat akar umbi yang mahu disampaikan kepada wakil rakyat.

"Biarpun sebahagian besar puisi bertema keagamaan, ia sesuai dibaca pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan beragama Islam dan golongan berfikiran sempit yang menganggap Islam mendorong umatnya melakukan keganasan,” katanya pada majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matunggong, Kudat, baru-baru ini Peneliti turut melihat antologi puisi Sinar Sirna sedikit sebanyak membawa pembaca menyelami ajaran Islam yang mahukan umatnya melakukan kebaikan termasuk kepada bukan beragama Islam.

"Proses penghasilan puisi ini mengambil masa 17 tahun iaitu sekitar 1988 hingga 2005 yang dengan sendirinya membuktikan pengarang mengutamakan mutu dalam pelbagai aspek terutama tema, penyampaian dan pemilihan perkataan," katanya.

Timbalan Yang Dipertua Bahasa, Ramli Jusoh, ketika membicarakan antologi cerpen `Hujan Putih' yang memuatkan 30 cerpen sebagai menyentuh apa yang dihadapi dan dialami setiap manusia mencakupi aspek rasa serta kepelbagaian citra.

Keadaan itu, merangkumi lima citra manusia iaitu hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan sesama manusia, hubungan dengan alam atau lingkungan, hubungan dengan tanah air dan hubungan dengan cita-cita serta masa depan dunia.

"Sejumlah 14 cerpen yang diungkapkan bertema citra hubungan sesama manusia, merangkumi persahabatan, kerisauan, kesetiaan, perpisahan, kejujuran, keresahan, kebimbangan, politik, kasih sayang dan hasad dengki.

"Selain Datuk Ismail Abas, kita berbangga memiliki pengarang sejati seperti Jasni yang mampu mengangkat karya penulis Sabah untuk dimuatkan dalam teks Kesusasteraan Melayu Moden.

Karyanya Sebatang Pohon lewat Bacalah dalam Bahasamu, menjadi teks Kesusasteraan Melayu Moden pelajar Tingkatan Empat dan Lima.

"Pada 2000, beberapa karya Jasni diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan dimuatkan dalam `Malay Literature' dan 2004, Sasterawan Negara (SN), Prof Dr Muhammad Salleh memuatkan puisi beliau dalam antologi Burnished Gold bagi memperkenalkan penyair Malaysia pada peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, novelis Sabah, Abdul Rahim Tapah ketika membicarakan novel Kembali Sebutir Mutiara: Suatu Pembacaan Dari sudut Psikoanalisis berkata keseluruhan karya itu sarat unsur psikologi, terutama pergolakan jiwa Hassan, watak utama yang mendokong cerita.

Kehilangan hak keluarganya terhadap Tanjung Penyu menyebabkan kehidupan mereka merempat hingga terpaksa hidup sebagai gelandangan di daerah baru berhadapan Laut Sulawesi selepas meninggalkan Tungku, Lahad Datu.

“Tanjung Penyu adalah `centre pribus' kepada keseluruhan cerita dalam Kembali Sebutir Mutiara.

Keinginan mengembalikan semula hak ke atas Tanjung Penyu menjadi agenda utama keluarga Hassan yang dianggap sebagai punca penderitaan keluarga mereka," katanya.

Bicara Karya Sastera Penulis Sabah 2008 dirasmikan Ketua Unit Bahasa, Pejabat Pelajaran Gabungan Kota Marudu, Abdul Halim Bidin dan turut dihadiri Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP, Mohamad Daud Mohamad, Pengarah DBPCS, Zubaidi Abas dan Pengetua SMK Matunggong, Rosmih Jamal.

Selain kehebatan pembentang, pelajar juga tidak melepaskan peluang mengemukakan pelbagai soalan dengan sesetengahnya bersifat kritikus yang menuntut penceramah memberi jawapan tepat.

Erra Tiffany Angki, 15, misalnya mengemukakan soalan, apakah usaha dilakukan pengarang di Malaysia untuk membaiki persepsi masyarakat bukan Islam di dunia yang mendakwa kononnya Islam pencetus keganasan global.

Soalan yang sukar dijawab, tidak dikecewakan ketiga-tiga pembicara dengan memberi beberapa contoh daripada karya Hasyuda Abadi dan Jasni. Secara automatik, Bicara Karya Sastera Penulis Sabah berjaya membawa dimensi baru pada bidang kesusasteraan Sabah kerana selama ini acara sedemikian berlangsung di Kota Kinabalu dan usaha membawanya ke Matunggong, kira-kira 160 kilometer dari ibu negeri, sememangnya dinanti-nantikan.

* **