Monday, June 2, 2008

SOROTAN KARYA PENGARANG SABAH

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Sastera/20080527082126/Article

Berita Harian, 27 Mei 2008

Karya Jasni Matlani, Hasyuda Abadi dan Noraini Osman dilapah daripada pelbagai sudut oleh tiga panel yang dijemput khas BICARA Karya Sastera Penulis Sabah 2008 melapah tiga karya pengarang tersohor dan pelbagai peringkat usia Negeri Di Bawah Bayu itu dalam usaha mengetengahkan ketrampilan mereka pada persada sastera tanah air.

Tiga buku yang dibicarakan adalah kelompok karya terkini pengarang yang sudah membuktikan kepengarangan mereka dengan memenangi pelbagai anugerah peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Program sehari itu anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), DBP Cawangan Sabah (DBPCS) dan Bahasa mengetengahkan pelbagai tema termasuk keagamaan, politik, pembangunan, suara rakyat, patriotisme dan nasionalisme.

Tiga karya dipilih adalah kumpulan puisi Sinar Sirna karya Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Hasyuda abadi; antologi cerpen Hujan Putih (Yang Dipertua Badan Bahasa Sabah (Bahasa), Jasni Matlani); dan novel Kembali Sebutir Mutiara (Noraini Osman).

Jasni dan Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Usin, masing-masing memperlihatkan jati diri sebagai pengarang hebat mutakhir ini, manakala novel Noraini pula memenangi Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP.

Penolong Pegawai Perancang Bahasa DBP, Mohd Amran Daud, meletakkan kumpulan puisi Sinar Sirna terbitan DBP pada 2007 sebagai menepati karya bermutu tinggi yang sama hebat dengan teks Kesusasteraan Melayu Moden dan Komponan Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas).

Sebanyak 80 peratus daripada 160 karya yang dihasilkan bekas penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia itu bertema keagamaan manakala bakinya kemasyarakatan, politik dan suara rakyat peringkat akar umbi yang mahu disampaikan kepada wakil rakyat.

"Biarpun sebahagian besar puisi bertema keagamaan, ia sesuai dibaca pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan beragama Islam dan golongan berfikiran sempit yang menganggap Islam mendorong umatnya melakukan keganasan,” katanya pada majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matunggong, Kudat, baru-baru ini Peneliti turut melihat antologi puisi Sinar Sirna sedikit sebanyak membawa pembaca menyelami ajaran Islam yang mahukan umatnya melakukan kebaikan termasuk kepada bukan beragama Islam.

"Proses penghasilan puisi ini mengambil masa 17 tahun iaitu sekitar 1988 hingga 2005 yang dengan sendirinya membuktikan pengarang mengutamakan mutu dalam pelbagai aspek terutama tema, penyampaian dan pemilihan perkataan," katanya.

Timbalan Yang Dipertua Bahasa, Ramli Jusoh, ketika membicarakan antologi cerpen `Hujan Putih' yang memuatkan 30 cerpen sebagai menyentuh apa yang dihadapi dan dialami setiap manusia mencakupi aspek rasa serta kepelbagaian citra.

Keadaan itu, merangkumi lima citra manusia iaitu hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan sesama manusia, hubungan dengan alam atau lingkungan, hubungan dengan tanah air dan hubungan dengan cita-cita serta masa depan dunia.

"Sejumlah 14 cerpen yang diungkapkan bertema citra hubungan sesama manusia, merangkumi persahabatan, kerisauan, kesetiaan, perpisahan, kejujuran, keresahan, kebimbangan, politik, kasih sayang dan hasad dengki.

"Selain Datuk Ismail Abas, kita berbangga memiliki pengarang sejati seperti Jasni yang mampu mengangkat karya penulis Sabah untuk dimuatkan dalam teks Kesusasteraan Melayu Moden.

Karyanya Sebatang Pohon lewat Bacalah dalam Bahasamu, menjadi teks Kesusasteraan Melayu Moden pelajar Tingkatan Empat dan Lima.

"Pada 2000, beberapa karya Jasni diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan dimuatkan dalam `Malay Literature' dan 2004, Sasterawan Negara (SN), Prof Dr Muhammad Salleh memuatkan puisi beliau dalam antologi Burnished Gold bagi memperkenalkan penyair Malaysia pada peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, novelis Sabah, Abdul Rahim Tapah ketika membicarakan novel Kembali Sebutir Mutiara: Suatu Pembacaan Dari sudut Psikoanalisis berkata keseluruhan karya itu sarat unsur psikologi, terutama pergolakan jiwa Hassan, watak utama yang mendokong cerita.

Kehilangan hak keluarganya terhadap Tanjung Penyu menyebabkan kehidupan mereka merempat hingga terpaksa hidup sebagai gelandangan di daerah baru berhadapan Laut Sulawesi selepas meninggalkan Tungku, Lahad Datu.

“Tanjung Penyu adalah `centre pribus' kepada keseluruhan cerita dalam Kembali Sebutir Mutiara.

Keinginan mengembalikan semula hak ke atas Tanjung Penyu menjadi agenda utama keluarga Hassan yang dianggap sebagai punca penderitaan keluarga mereka," katanya.

Bicara Karya Sastera Penulis Sabah 2008 dirasmikan Ketua Unit Bahasa, Pejabat Pelajaran Gabungan Kota Marudu, Abdul Halim Bidin dan turut dihadiri Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP, Mohamad Daud Mohamad, Pengarah DBPCS, Zubaidi Abas dan Pengetua SMK Matunggong, Rosmih Jamal.

Selain kehebatan pembentang, pelajar juga tidak melepaskan peluang mengemukakan pelbagai soalan dengan sesetengahnya bersifat kritikus yang menuntut penceramah memberi jawapan tepat.

Erra Tiffany Angki, 15, misalnya mengemukakan soalan, apakah usaha dilakukan pengarang di Malaysia untuk membaiki persepsi masyarakat bukan Islam di dunia yang mendakwa kononnya Islam pencetus keganasan global.

Soalan yang sukar dijawab, tidak dikecewakan ketiga-tiga pembicara dengan memberi beberapa contoh daripada karya Hasyuda Abadi dan Jasni. Secara automatik, Bicara Karya Sastera Penulis Sabah berjaya membawa dimensi baru pada bidang kesusasteraan Sabah kerana selama ini acara sedemikian berlangsung di Kota Kinabalu dan usaha membawanya ke Matunggong, kira-kira 160 kilometer dari ibu negeri, sememangnya dinanti-nantikan.

* **

No comments: