Monday, June 2, 2008

SASTERA.COM: PENYENARAIAN KARYA TERBITAN SENDIRI DIPERTIKAI

Oleh Nazmi Yaakub

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Sastera/20080527082022/Article/index_html

BLOG The Short Review di alamat http://theshortreview.blogspot.com menimbulkan persoalan mutu karya yang diterbitkan sendiri oleh penulis baru sehingga wajar mendapat tempat di kalangan pengulas setaraf dengan buku pengarang tersohor yang diterbitkan syarikat penerbitan mapan.

Isu itu timbul ekoran buku kumpulan cerpen yang diterbitkan sendiri oleh pengarang tidak dikenali, menguasai senarai panjang calon pemenang Hadiah Cerpen Antarabangsa Frank O’Connor yang menawarkan hadiah wang bernilai RM176,000 (EUR35,000).

Meskipun ada pengarang tersohor disenaraipanjangkan seperti Jhumpa Lahiri, Anne Enright dan Roddy Doyle, kebanyakan penulis di antara 39 calon itu ialah penulis baru yang menerbitkan kumpulan cerpen mereka sendiri.

Separuh daripada 14 calon pengarang dari Britain ialah mereka yang bukunya diterbitkan syarikat indie, SALT, manakala pencalonan individu pula datang dari Kanada, Singapura, Taiwan dan Nigeria, selain Amerika Syarikat (8); Ireland (5), Australia (2) serta New Zealand (2).

Editor The Short Review, Tania Hershman, menganggap perkembangan baru dalam dunia penganugerahan sastera itu menarik untuk diulas kerana isu ulasan karya kelompok terbabit menjadi persoalan rumit untuk dijelaskan terutama di kalangan pengulas.

“The Short Review sendiri mengambil keputusan tidak menerima kumpulan cerpen terbitan sendiri atau buku yang pengarangnya terbabit dalam proses penerbitan untuk pihak kami melakukan ulasan dan kritikan.

“Sekiranya anda bertanya alasan tindakan itu, saya mungkin boleh menggunakan ‘kawalan mutu’ walaupun secara jujur saya pernah membaca ulasan terhadap kumpulan cerpen yang teruk,” katanya yang juga menghasilkan kumpulan cerpen The White Road & Other Stories.

Hershman mengakui kebimbangannya untuk menerima kumpulan cerpen terbitan sendiri ialah tindakan itu bakal membuka pintu kepada kemasukan buku sedemikian sehingga menyebabkan kebanjiran buku terbabit dalam dunia ulasan.

“Novelis, Anne Brooks, menulis catatan menarik dalam blog Vulpes Libris mengenai keterbukaan laman web ulasan buku yang menerima buku terbitan sendiri untuk ulasan kerana dunia maya bersikap terbuka berbanding kelompok pengulas tradisi buku berkulit keras.

“Perkembangan dan pandangan baru itu memberi idea kepada saya sebagai Editor The Short Review untuk membuat pertimbangan sama ada mengulas buku terbitan sendiri atau mengambil tindakan menentangnya,” katanya.

Hadiah Cerpen Antarabangsa Frank O’Connor dianjurkan Pusat Kesusasteraan Munster dan mendapat dana Majlis Perbandaran Cork untuk mengenang sumbangan cerpenis berbangsa Irish, Frank O’Connor itu, pernah dimenangi pengarang antarabangsa seperti Miranda July, Haruki Murakami, Jay Rubin, Philip Gabriel dan Yiyun Li.

No comments: