Wednesday, July 2, 2008

MENILAIKAN SUMBANGAN RAJA ALI HAJI DALAM BAHASA

Oleh
Nazmi Yaakub

Ketokohan pengarang kelahiran Pulau Penyengat diperakui menerusi dua buku tulisannya.

SEMINAR Ijazah Pengajian Tinggi di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini, memperakukan sumbangan tokoh pengarang Bugis, Raja Ali Haji Raja Ahmad dalam bidang bahasa apabila dua kitabnya, Bustan al-Katibin ditulis pada 1850 dan Kitab Pengetahuan Bahasa (1858) diteliti.

Penelitian terhadap sumbangan Raja Ali Haji dalam bidang pengajaran tatabahasa bahasa Melayu, perkamusan dan adab belajar itu, memperluaskan skop kajian terhadap tokoh Bugis berkenaan yang selama ini lebih dikenali kerana kehebatan gurindamnya, seperti terpancar pada Gurindam Dua Belas ditulis pada 1847 dan sejarah Melayu lewat Tufhat al-Nafis.

Calon sarjana APM, Ting Hua Lui, berharap kajiannya terhadap Bustan al-Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa, dapat menyumbang kepada usaha untuk mengisi kekurangan maklumat dan lompong ilmu pengetahuan mengenai penghasilan tatabahasa bahasa Melayu pada abad ke-19.

“Permasalahan kajian saya ialah belum ada kajian mendalam mengenai isi kandungan dua kitab itu serta sumbangan Raja Ali Haji terhadap bidang ilmu tatabahasa bahasa Melayu,” katanya ketika melapah Sumbangan Raja Ali Haji Terhadap Ilmu Tatabahasa Bahasa Melayu.

Antara kajian sebelum ini ialah Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad karya Teuku Iskandar; Falsafah Bahasa: Beberapa Aspek Kajian (Prof Dr Hashim Musa) dan Raja Ali Haji dari Riau: Apakah Beliau Seorang Tokoh Transisi atau Pujangga Klasik yang Akhir Sekali? (Prof Emeritus Dr Mohd Taib Osman)

Kajian mengenai Raja Ali Haji pula oleh Harimurthi Kridalaksana dalam makalahnya, Bustan al-Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa - Sumbangan Raja Ali Haji dalam Ilmu Bahasa Melayu dan Darwis Harahap (Bustanul Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa: Satu Tinjauan), manakala Adriyetti Amir melalui disertasi sarjananya, Kitab Pengetahuan Bahasa Karangan Raja Ali Haji: Kajian Leksikografi. Bustan al-Katibin diakui pengkaji ini sebagai karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang dihasilkan pengarang dari Nusantara sehingga membolehkan pembaca untuk mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi.

“Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan Bustan al-Katibin adalah untuk menyebarkan ilmu bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan buku tatabahasa bahasa Melayu serta menerapkan hukum bahasa.

Bustan al-Katibin juga mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa, manakala huraian dalam konteks tatabahasa luas dan mendalam,” katanya pada pembentangan yang dipengerusikan Dr Zahir Ahmad.

Kitab terbabit turut mengandungi perbincangan mengenai aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa Melayu, selain pengajaran Raja Ali Haji dalam ilmu dan akal yang bukan saja sesuai untuk pembacaan pada zamannya, bahkan masih lagi bermanfaat untuk diketahui serta dikaji sarjana dan pembaca pada zaman kini.

“Ada sarjana semasa yang mengkritik Bustan al-Katibin kerana menggunakan kaedah tatabahasa bahasa Arab untuk bahasa Melayu seperti kajian oleh Mohd Taib, Teuku, Virginia Matheson dan Prof Teeuw, tetapi beliau tidak wajar dipersalahkan kerana sejak kecil lagi, mendalami ilmu pengetahuan Islam dengan mengikuti ayahnya ke Makkah.

“Raja Ali Haji turut mengemukakan 10 adab berguru yang wajar dijadikan ikutan dan teladan kepada pelajar, sekali gus dianggap menjadi peringatan yang berguna kepada mereka yang sedang menuntut ilmu dan patut disimpan di setiap perpustakaan kerana dapat membimbing ke arah ilmu yang benar,” katanya.

Keistimewaan Kitab Pengetahuan Bahasa pula, Hui Lui kerana ia membincangkan kelas atau golongan kata, menghuraikan unit tatabahasa dan membincangkan aspek sintaksis, sekali gus menjadi kamus pertama karya orang tempatan sebelum abad ke-20 selain menjadikannya sebagai kamus ekabahasa tertua di Alam Melayu.

“Bahagian kamus dibincangkan secara terperinci sehingga menampakkan sebagai kamus terbaik dan boleh menjadi petunjuk serta panduan dalam kehidupan ahli masyarakat. Entri dalam kamus itu disusun dengan baik dan mudah difahami dengan contoh perkataan mencukupi, selain memperlihatkan ciri morfologi dan sintaksis,” katanya.

Selain itu, Raja Ali Haji juga tidak meminggirkan konsep adab dan budi dalam dua kitab terbabit apabila Mukadimah Bustan al-Katibin membincangkan kepentingan ilmu dan akal, cara menuntut ilmu serta hubungan penuntut dengan guru.

“Dalam Kitab Pengetahuan Bahasa pula, Raja Ali Haji menjelaskan konsep adab dan budi dengan menerangkan sembilan adab yang membabitkan adab dengan Allah, orang berilmu, menuntut ilmu, antara anak dengan ibu bapa, ahli keluarga, saudara-mara, sahabat, orang yang dikenali serta pembesar negeri yang hampir dengan raja, selain adab dalam pergaulan.

“Ini kerana antara tujuan Raja Ali Haji menulis kitab itu selain menghasilkan kamus bahasa Melayu, adalah untuk membentuk masyarakat yang beradab sopan dalam setiap perkara dan membolehkan masyarakat Melayu memperoleh ilmu sebenar,” katanya.

Raja Ali Haji dilahirkan di Pulau Penyengat, pusat Kesultanan Riau-Lingga pada 1808, berasal daripada keluarga dan keturunan Bugis yang banyak melahirkan tokoh pengarang di Riau serta mengikuti ayahnya ke Makkah pada 1827 untuk menunaikan haji.

Peluang ke Makkah memungkinkannya mendalami ilmu pengetahuan Islam yang menjadikannya antara cendekiawan Melayu lama yang terdidik dalam ilmu pengetahuan Islam dan keilmuannya dalam bidang itu terbukti apabila beliau dilantik sebagai penasihat dan guru agama kepada Yang Dipertuan Muda Raja Abdur Rahman bermula 1831 hingga 1844; Raja Ali (1844-1857) dan Raja Abdullah (1857-1858), selain Raja Muhammad Yusuf.

Selain Hua Liu, pelajar sarjana yang terbabit dalam pembentangan itu ialah Zaharah Osman melalui Kajian Intertekstualiti Novel Tengku Menteri, manakala Haruman Kencana dan Hujan Sudah Teduh Karya Zaharah Nawawi: Satu Penerapan Teori Feminisme pula dibentangkan Nor Azlia Mat Jaaffar.

Berita Harian, 3 Julai 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20080703080933/Article

No comments: