Wednesday, July 2, 2008

SASTERA DALAM BENTUK KOMPAK MINGGU DEPAN


HALAMAN Sastera Berita Harian akan turut mengalami perubahan ekoran keputusan syarikat untuk berubah daripada akhbar broadsheet kepada kompak mulai 6 Julai ini dan halamannya akan menemui pembaca pada setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Empat halaman akan menemui pembaca pada setiap Khamis dengan dua kolum baru diperkenalkan iaitu Mewah Bahasa bersama Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nor Hisham Osman.

Kolum dalam bentuk lelucon ini bertujuan memberi peluang kepada pembaca halaman Sastera Berita Harian mengetahui adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan dialek, taraf sosial dan generasi.

Satu lagi kolum baru yang diperkenalkan ialah E-mel dan Anda yang bertujuan memberi peluang kepada semua individu meluahkan pandangan berhubung isu sastera, bahasa dan bangsa untuk dikongsi dengan pembaca lain.

Semua pandangan seringkas yang mungkin perlu dikemukakan melalui e-mel bhsastera@nstp.com.my dan perlu disertakan dengan alamat lengkap, nombor telefon dan kad pengenalan sebagai langkah keselamatan dan kebertanggungjawapan terhadap pandangan masing-masing.

Halaman Sastera Khamis juga akan membawa pembaca merenung sejenak isu sekitar bahasa, budaya dan bangsa yang dipersembahkan dalam bentuk ringan, tetapi wajar diberi perhatian
melalui kolum Warna Kehidupan.

Halaman Sastera dan Seni yang sebelum ini menemui pembaca Sabtu dibawa ke Jumaat dan jumlah halamannya dikekalkan manakala Susastera yang ditukarkan kepada Kreatif akan diterbitkan pada setiap Sabtu.

Semua karya untuk halaman Kreatif masih menggunakan e-mel yang sama bhsastera@nstp.com.my dengan syarat serupa manakala kiriman melalui pos perlu dialamatkan kepada Kreatif, Berita Harian, 31, Jalan Riong, Bangsar, 59100, Kuala Lumpur.

Berita Harian, 3 Julai 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20080703080143/Article/index_html

No comments: