Wednesday, July 2, 2008

REMAJA DAN KEMAHIRAN BERBAHASA

Oleh
Mohd. Farid Md. Alias
fikrahremaja@yahoo.com


MENURUT Kamus Dewan, bahasa didefinisikan sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.

Kemahiran berbahasa pula bermaksud darjah keupayaan seseorang itu mengaplikasikan sesuatu bahasa dalam menyampaikan mesej kepada pihak kedua dan kemudiannya mentafsirkan kembali maklum balas daripada pihak kedua tersebut.

Bahasa bukan sahaja mencerminkan keperibadian sesuatu bangsa, malah juga sebagai manifestasi latar budaya dan peradaban bangsa tersebut. Bahasa adalah bersifat neutral, yakni sesiapa sahaja boleh mempelajarinya. Bahasa berupaya menjalinkan perhubungan antara dua dunia yang tidak mengenali satu sama lain.

Kemahiran berbahasa meliputi aspek kemahiran membaca, menulis, bertutur dan mendengar. Penguasaan bahasa juga berkait rapat dengan budaya keilmuan seperti budaya membaca, bertukar pandangan serta berkarya.

Penguasaan bahasa ibunda merupakan prasyarat minimum bagi seseorang untuk berinteraksi dengan masyarakat sekeliling yang bersifat homogeneus dengannya. Penguasaan lebih daripada satu bahasa akan memberi kelebihan kepada seseorang itu dari sudut interaksi sosial, keilmuan dan kerjaya.

Penguasaan bahasa selain bahasa ibunda sendiri membolehkan kita memperluas ruang lingkup interaksi sosial dengan insan-insan lain yang bertutur dalam bahasa tersebut. Hal ini dapat membuka ruang untuk menjalinkan kerjasama dalam sektor perniagaan, pendidikan atau sebagainya demi manfaat bersama.

Di samping itu, kita juga dapat mengenali corak budaya dan pemikiran bangsa lain sejajar dengan pembelajaran bahasa ibunda bangsa tersebut. Faedahnya, aspek-aspek positif yang dimiliki oleh bangsa tersebut dapat dicontohi dan diasimilasikan terhadap budaya hidup kita sendiri.

Dalam sudut keilmuan, penguasaan lebih daripada satu bahasa akan membuka lebih banyak akses kepada sumber ilmu pengetahuan dan informasi terkini. Pengayaan ilmu serta peningkatan keupayaan berfikir di luar konteks pemikiran setempat dapat berlaku dan seterusnya mendorong ke arah pemupukan minda kelas pertama.

Bahasa Kebangsaan, Ibunda Dimartabatkan

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menguasai dengan baik bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia yang diguna pakai oleh segenap lapisan rakyat di negara ini merupakan bahasa perpaduan ke arah menyatupadukan masyarakat negara ini yang berbilang kaum.

Apatah lagi bagi bangsa Melayu, bahasa Melayu yang kemudiannya dinamakan bahasa Malaysia merupakan bahasa ibunda mereka. Penguasaan bahasa ibunda dengan baik adalah perlu demi menjamin kelangsungan jati diri sesuatu bangsa itu agar tidak hanyut ditelan zaman.

Sejarah telah memahatkan bahawa bahasa Melayu telah menjadi lingua franca atau bahasa pertuturan di kalangan pedagang asing dan rakyat tempatan pada zaman kegemilangan Empayar Kesultanan Melaka suatu masa dahulu.

Adalah sangat menyedihkan sekiranya rakyat jati Malaysia sendiri khususnya rakyat berbangsa Melayu tidak mampu bertutur atau menulis menggunakan bahasa Malaysia secara fasih dan betul. Penggunaan bahasa Malaysia yang tidak teratur atau bersifat ‘rojak’ iaitu berselang seli dengan bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris tidak banyak membantu ke arah memartabatkan bahasa kebangsaan kita.

Justeru usaha untuk memperkembangkan penggunaan bahasa Malaysia perlu diteruskan dengan bersungguh-sungguh tanpa prejudis. Agensi atau syarikat penerbitan buku atau majalah tempatan sewajarnya mempertingkatkan usaha ke arah memperkaya bahan bacaan berbahasa Malaysia yang bermutu dan berpatutan harganya.

Agensi penterjemahan pula perlu merancakkan lagi penterjemahan buku-buku dari luar negara terutamanya buku-buku sains dan teknologi supaya masyarakat di negara ini dapat mengikuti perkembangan keilmuan terkini dari luar negara.

Bagi remaja Muslim juga, mereka digalakkan untuk menguasai bahasa Arab demi mendalami ajaran Islam dengan lebih berkesan. Penguasaan bahasa Arab dapat membantu memudahkan proses pemahaman, pembelajaran, penghayatan dan hafazan para pelajar dalam pendidikan Islam yang diterapkan.

Hal ini juga dapat membuka saluran untuk meneroka isi kandungan al-Quran secara tersurat mahupun tersirat. Insya-Allah proses penghafazan al-Quran juga menjadi mudah di samping dapat membentuk keperibadian dan keterampilan diri yang unggul berpandukan al-Quran.

Bahasa Inggeris Semakin Berperanan

Begitupun, dalam kesungguhan kita memartabatkan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda sendiri, kita juga seharusnya menguasai bahasa lain khasnya bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris dilihat sebagai amat penting untuk dipelajari dan dikuasai memandangkan fungsinya sebagai medium komunikasi yang semakin meluas di peringkat antarabangsa.

Menurut sumber laman web Wikipedia, bahasa Inggeris mempunyai jumlah penutur melebihi 800 juta orang (sebagai bahasa pertama atau kedua) yang merangkumi lebih 120 buah negara di seluruh dunia.

Tidak dinafikan juga bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa keilmuan global pada masa kini. Terdapat pelbagai karya ilmiah dan bukan ilmiah yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Dengan kemahiran berbahasa Inggeris maka ia akan membuka saluran keilmuan buat kita terhadap pelbagai lapangan ilmu dari luar negara.

Keperluan menguasai bahasa Inggeris juga semakin penting selaras dengan kemajuan bidang sains dan teknologi. Tapak asas kemajuan bidang teknologi maklumat (IT) umpamanya berasal dari Amerika Syarikat dan perkembangannya masih bertumpu di sana. Banyak syarikat peneraju dalam bidang IT berasal dari negara tersebut seperti Microsoft, Apple dan Google dan mereka memperkenalkan produk-produk IT yang mana bahasa pengaturcaraan dan sistem operasinya adalah dalam bahasa Inggeris.

Untuk tidak ketinggalan dalam kepesatan bidang sains dan teknologi maka adalah perlu untuk kita menguasai bahasa Inggeris demi memahami istilah-istilah khusus dalam bahasa tersebut dan selanjutnya memudahkan kita untuk menguasai dan memperkembang teknologi yang dipelajari.

Sektor pekerjaan hari ini memperlihatkan diversiti di kalangan tenaga kerja dari sudut bangsa, jantina, budaya, agama, latar belakang pendidikan dan sebagainya. Demi memenuhi keperluan berinteraksi dalam sesebuah organisasi, maka bahasa Inggeris lazimnya digunakan dalam komunikasi lisan mahupun aspek dokumentasi.

Justeru adalah perlu bagi seseorang graduan itu mengasah kemahiran berbahasa dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris demi meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan dan seterusnya meningkat naik dalam kerjaya yang diceburi.

Andainya seseorang itu menguasai bahasa ketiga atau lebih daripada itu seperti bahasa Mandarin, Tamil, Arab atau lain-lain maka ia akan memberi nilai tambah terhadap dirinya untuk meningkat ke tahap yang lebih tinggi atas kapasiti keupayaan interaksi sosialnya yang lebih meluas.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kemahiran berbahasa merupakan kunci ke arah mencapai kecemerlangan yang lebih gemilang pada masa hadapan. Walau apa pun bahasa yang ingin dikuasai, pokok pangkalnya adalah usaha berterusan yang tidak mengenal jemu atau malu untuk terus mempelajari bahasa tersebut.

Ketika usia muda remaja inilah adalah waktu terbaik buat remaja memperkasa kemahiran berbahasa yang dimiliki. Ini kerana pada zaman remaja potensi kekuatan minda berada pada tahap terbaik untuk menuntut pelbagai ilmu dan kemahiran.

Justeru kesempatan waktu dan keupayaan akal yang dimiliki remaja wajar dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan intelek diri khasnya kemahiran berbahasa agar menjadi pencetus kepada kemajuan masyarakat secara keseluruhannya.

No comments: